Thursday 8 December 2016

ORANG GAJI



Assalamualaikum. Nak inform yang, karya terbaru daripada saya bergenre seram akan berada di pasaran sempena Ekspo Buku Malaysia pada 14hb Disember 2016 nanti. Untuk yang meminati genre seram, boleh dapatkan novel saya bertajuk Orang Gaji di booth Penerbitan Fajar Pakeer dan Dear Novel (Booth 15-17) Dewan Tun Hussein Onn PWTC. Jom, saya belanja sinopis :)

Segala-galanya berubah apabila isteri Irham sedar daripada koma. Kata isterinya, mereka harus membantu orang gaji mereka.

“Sebab tu saya minta tolong dengan Halim sebab malam tu, Liya minta tolong dengan saya.”
“Tolong apa?” soal Irham tidak serius.
“Tolong carikan kepala dia.”

Doktor Fendi yang bertanggungjawab merawat isteri Irham turut diganggu. Beberapa kepala mayat di hospital lesap. Siapa punya angkara? Apa kaitan kejadian yang berlaku dengan orang gaji di rumah Irham? Benarkah apa yang dilihat oleh Sara dan Mak Yam? Ada apa dengan orang gaji itu?

Saturday 2 April 2016

JEJAKA MACAM DIA :)


Assalamualaikum semuanya.. ni la cover rasmi untuk Jejaka Macam Dia. Amacam? Cun tak? Mestilah cun kan.. insya Allah akan keluar untuk bulan April ni. Mulai minggu kedua macam tu dah boleh cari kat kedai2 ya. Kalau nak confirm memang dapat, order terus kat Penerbitan Fajar Pakeer. Boleh PM depa kat FB atau pun, boleh juga Whatsapp nombor ni untuk order, 0196128069. Harga RM 26 termasuk pos dah. Ha.. jimat kan? Penghantaran akan dibuat selepas 11 April ya :) Jom, saya kasi sinopsis untuk Jejaka Macam Dia ni.

Kerana satu peraduan cabutan bertuah yang didaftarkan atas nama Durrah, dia memenangi pakej percutian ke Langkawi. Gara-gara pakej itu, dia bertemu dengan Juliana. Gadis yang cuba berlagak gentleman dengannya. Mengambil berat, suapkannya makanan. Mulalah Durrah fikir yang bukan-bukan, tapi ops! Dia bukannya les... Isy! Takkanlah Ju macam tu?
Luth Zafir, pemilik Perkasa Sdn Bhd. Kenapa gadis yang seorang itu degil untuk menjual tanah dan rumah yang ingin dibelinya? Farhan cakap mustahil. Baginya, mesti ada cara. Caranya... adalah! Bila dah menjadi, dia dituduh gay. Ini boleh mencabar kelelakiannya! Lebih daripada itu, Durrah turut terkena tempias.
Nama baik dan maruah gadis itu dijaja. Dia akui itu berpunca daripada kesilapannya. Ditambah dengan rasa yang bertamu, dia menyuarakan rasa hati kepada Durrah. Dia ajak Durrah kahwin dengannya!
Di bawah satu bumbung dengan suami yang tall, dark and handsome yang memang menepati ciri-ciri idamannya, mulalah Durrah tak keruan. Sikap budiman semula jadi Luth Zafir yang ditunjukkan, membuatkan hatinya degil tidak menurut kata.
“Emmm... I tak goda you pun. Bila I goda? Kalau I goda, mesti lain dah jadinya. Ke you yang dah tergoda dengan I, sayang?”
Dan, Alisya tidak senang duduk. Luth Zafir harus direbut. Dia yang kenal lelaki itu dulu, katanya. Kemunculan anak kembar Tan Sri Mokhar, Sherin dan Sherina, menambahkan lagi perisa. Pelbagai perkara mula terjadi. Dan Durrah, sungguh tak ingin kehilangan Mr. Gentlemannya!

Friday 11 March 2016

TAJUK BARU :)


Nak habaq..sebelum ni karya saya yang bertajuk My Mr. Gentleman tu, secara rasminya sudah ditukar kepada Jejaka Macam Dia :) Insya Allah akan keluar tidak lama lagi di bawah Penerbitan Fajar Pakeer. Jangan lupa dapatkan tau? Tq ^_^

Monday 7 March 2016

HEY MR. BODYGUARD, I LIKE YOU!

P/S: Since ada di antara mereka yang tak ada wattpad dan susah nak ikut cerita ni, saya pos ke sini untuk bab pertama. Cerita ni pada asalnya diletak tajuk, Hey Abang Bodyguard I Like You tapi saya ubah seperti yang sedia ada sekarang ni. Watak Alisya yang saya kembangkan daripada My Mr. Gentleman. Sudi2 baca n kalau rajin, komen k.. tq :)

Alisya melihat beberapa rekaan yang berada di atas mejanya. Selepas sekeping kertas diteliti, sekeping lagi dicapainya. Bibir diketap. Mata terkebil-kebil melirik rekaan gaun berwarna merah hati yang sedang dipegangnya. Mata ditalakan pula kepada Miza dan Eda yang sedang sibuk di satu sudut.
            “Tak habis lagi ke?” tegur Alisya. Miza yang sedang menunduk membetulkan hujung kain di bahagian kaki patung yang baru dikenakan sehelai gaun pengantin itu menoleh sekilas kepada Alisya. Patung itu nanti akan diletakkan pula di aras bawah untuk dipamerkan.
            “Kenapa?”
            Eda pula mengerling. Dia yang masih belum menyudahkan kerja-kerjanya untuk menyeterika beberapa helai dress kain sifon itu terus meninggalkan kerja-kerjanya lalu, menapak menghala ke arah meja Alisya. Kening diangkat sebagai isyarat bertanya.
            “Ni hah... banyak sangatlah,” tukas Alisya sambil menunjuk kepada beberapa keping kertas yang diletakkannya ke atas meja.
            “La... ingatkan apalah tadi. Kalau banyak, bukan ke bagus? You juga yang masyuk nanti,” usik Eda sambil tersenyum.
            Alisya menganggukkan kepala. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi.
            “Kenapa ni Lis? You tak sihat ke?” Miza melepaskan soalan. Matanya terus membelek wajah Alisya. Raut wajah yang tidak ceria itu mengundang persoalan dalam hatinya yang tidak boleh dipendamkan lagi. Sejak tadi bukannya dia tidak sedar Alisya yang resah semacam.
            Gadis itu menggelengkan kepalanya. Bibir terlukis senyuman.
            Miza dan Eda yang memerhati tingkah Alisya hanya menjongketkan kening di antara satu sama lain.
            “Err... dah tu kenapa? Serabut sebab banyak sangat rekaan yang you nak kena siapkan?” Eda melepaskan serkap jarang.
            “Taklah,” sahut Alisya sepatah. Memanglah tadi dia sedikit tertekan dan keliru di antara rekaan yang banyak mana itu yang mana harus dipilihnya untuk disiapkan terlebih dahulu. Persaingan di dalam dunia fesyen sudah menjadi lumrah, tetapi dia tidak boleh memandang ringan perihal kerjanya. Silap memilih rekaan untuk dijual nanti, namanya juga yang busuk di luar sana.
            “Dah tu? Err... takkanlah sebab Luth?” soal Miza teragak-agak. Biarpun disiku oleh Eda tetap saja soalan itu keluar daripada mulutnya.
            Alisya menegakkan tubuh di kerusi. Tawa kecil kedengaran. Kepala digeleng perlahan apabila mendengarkan soalan daripada Miza tadi.
            “You ni kan, agak-agaklah. Dah jadi suami orang kan? Takkanlah I nak kacau lagi? Lagipun dah memang bukan jodoh I. Buat macam mana sekalipun kalau dah bukan jodoh, memang takkan dapat,” sahut Alisya sambil menjongketkan bahu.
            “Yalah... manalah tahu kan. Orang cakap yang pertama tu susah nak lupa. Bukan dulu tu you suka sangat dengan dia?” sanggah Miza.
            Alisya tersenyum. Senyuman yang kian melebar dan meleret apabila mengenangkan empunya nama Luth Zafir.
            “Yeah... I mengaku memang Luth baik. Gentleman... you know? Kalau dalam bahasa Melayunya, budiman. Dia baik, sweet...”
            “Hah! Tengok... macam ni you cakap yang you dah lupakan dia?” celah Eda sambil menjegilkan mata.
            Alisya mengangkat tangan isyarat meminta Eda menutup mulutnya.
            “Dengar dulu apa yang I nak cakap. Memang dia baik dan I sukakan dia, tapi itu cerita tahun lepas. Selepas apa yang dah berlaku, dengan kes anak Tan Sri Mokhtar tu, cukuplah. I dah serik dan I dah sedar. Luth bukan untuk I.”
            Eda dan Miza saling berpandangan sebelum menalakan kembali pandangan mereka kepada Alisya.
            “Kenapa? I tahu kau orang tak percaya kan? Come on! Orang boleh berubah kan?”
            “Ya, kalau you boleh buktikan,” sahut Miza sambil tersenyum.
            “Buktikan? Macam mana? I dah tak kacau Luth dan Durrah. Dah bahagia pun dia orang. Kalau kau orang tak percaya, kau orang boleh tanya Cindy atau pun Rafiqi. Tak pun, kau orang pergi tanya dengan Luth atau Durrah sendiri,” tukas Alisya serius.
            “Tak payahlah sampai macam tu sekali,” sanggah Eda.
            “Dah tu? Susah sangat kau orang nak percaya bila I cakap yang I dah berubah kan?” Jeling Alisya tidak berpuas hati.
            “Senang. Kalau betul you dah berubah dan tak sukakan Luth macam dulu, apa kata you buktikan dekat kami.”
            “Yalah! Macam mana?” soal Alisya tidak sabar memintas cakap Miza.
            “Get a boyfriend! Barulah kami percaya yang you dah lupakan Luth,” sambung Miza.
            “Betul !” Celah Eda menzahirkan sokongan.
            Alisya melepaskan keluhan. Itulah yang menjadi masalahnya. Dipandang Miza dan Eda yang turut memandang kepadanya sambil tersenyum.
            “Kau orang ingat nak cari lelaki yang layak nak dibuat suami tu senang? Sebab tulah tadi I pening. Rekaan yang tak dipilih ni lagi, persaingan kat luar tu dan tadi tiba-tiba I teringatkan Luth. Ya, I mengaku I teringatkan dia, tapi...” Alisya cepat menegakkan jari telunjuknya kepada Miza yang ingin membuka mulut.
            “Tapi, bukan dengan cara yang kau orang fikirkan tu. I dah boleh terima hakikat dah pun. Cuma, pasal benda nilah. Pasal hidup I sekarang. Siapa yang tak nak kahwin? Nak-nak kalau dengan lelaki yang sebaik Luth tu, tapi bukan senang,” omel Alisya sambil memeluk tubuh.
            Miza dan Eda terdiam sejenak. Timbul pula rasa kasihan apabila mendengarkan kata-kata kawan mereka yang seorang itu.
            “Err... suruhlah sepupu you carikan?” Eda memberikan cadangan.
            Alisya yang elok bersandar di kerusi laju menggelengkan kepala.
            “Dia? Rafiqi tu? Isy! Tak naklah I. Nanti bukannya yang gentleman yang I dapat, entah apa-apa lelaki yang dia bagi. Bukannya boleh percaya sangat tu.”
            Eda melepaskan tawa apabila melihat reaksi Alisya yang bagaikan takut sangat denagn pilihan sepupunya itu.
            “Eh! Lis, bukan hari ni ke you cakap mak dan ayah you balik? Dah pukul berapa ni?” Miza bersuara apabila melihatkan jam yang tergantung di dinding.
            Alisya mengerling kepada jam di tangannya. Terus dia terbangun dari kerusi sebaik melihatkan jam yang hampir ke pukul 11. 40 pagi. Tergesa-gesa dia mencapai beg tangannya sebelum berlalu.
            Belum sempat memulakan langkah, dia memerhati seketika ke arah meja.
            “Tak apalah. Nanti I kemas,” luah Miza yang memahami maksud pandangan Alisya yang melihatkan kertas-kertas hasil rekaannya yang masih bersepah di atas meja.
            “Thanks! Agaknya mama dengan papa I dah sampai dah. Eh! Kau orang tolong jagakan butik tau? Kalau ada pelanggan, kau orang tunjukkan dulu rekaan I yang I dah asingkan dalam fail tu. Kalau dia orang nak yang custom made, kau orang suruh dia buat temujanji dulu.” Alisya yang tergesa-gesa mengatur langkah sempat menitipkan pesanannya.
            “Yalah bos. Macamlah kita orang tak biasa. You tu hati-hati bawa kereta!” Jerit Miza yang menyorot langkah Alisya.
            Alisya yang sudah melangkah keluar sempat mengangkat tangannya tanda mendengar. Kaki terus menuruni tangga dari aras dua itu. Tiba di luar, dia menuju ke kereta Maruti Suzuki Ciaz kesayangannya yang diparkirkan betul-betul di hadapan butik.
            Beberapa meter dari tempat parkir, seorang lelaki yang sedari tadi menunggu di luar hanya memerhati. Lagaknya tenang dan bersahaja. Dia mengatur langkah apabila melihat susuk yang ditunggu sudah memasuki ke dalam kereta Maruti yang berwarna merah itu.
            Alisya yang baru menghidupkan enjin menjeling ke luar. Kelihatan seorang lelaki yang baru memasuki ke dalam kereta Toyota Camry yang diparkir bersebelahan keretanya.
            “Emm... not bad,” gumamnya perlahan. Timbul perbandingan di dalam kepalanya apabila melihat kereta tersebut. Perbandingan yang empunya kereta dengan Luth Zafir. Sayangnya wajah pemilik kereta tersebut tidak kelihatan. Hanya sekilas cuma yang sempat dipandangnya.
            Kereta dipandu perlahan untuk keluar dari kotak parkir. Bibir terlukis segaris senyum apabila terbayangkan kedua-dua ibu bapanya yang akan ditemui sekejap sahaja lagi.
            “Berapa tahun ya? Dua tiga tahun macam tu?” Alisya sibuk mencongak. Agak lama dia tidak bersua muka dengan mama dan papanya. Hari ini, kedua-dua orang tuanya akan pulang dari Australia.
            Kereta terus dipandu. Dari arah belakang, Toyota Camry terus mengikuti tanpa disedari pun oleh Alisya yang hanya ingin cepat sampai ke rumah.


Sunday 10 January 2016

NAK HABAQ!!!

Mulai hari ni, saya akan aktif di Wattpad. Semua cerita2 baru, teaser2 dan semunyalah boleh dibaca kat sana ya.. Nak follow saya, tu..kat atas sebelah kiri nampak button tu? Tekan je, hehe.. Terima kasih atas sokongan semuanya selama ini. Nak baca cerita terbaru, Hey Abang Bodyguard I Like You! pun ada kata sana.

Hey Abang Bodyguard I Like You, yang saya ambik watak Alisya dari My Mr. Gentleman tu. Setelah gagal nak memikat Luth Zafir berjaya tak dia nak pikat abang bodyguard pula kali ni? Oh! Yes, kali ni dialah heroin dalam cerita ni. Jom! Jumpa di wattpad ye, hehe.. babai!