Saturday 18 January 2014

DIA...MIKHAEL 2


2
            “Sikit je makan tu. Dah kenyang?,” suara mak menegur sewaktu aku bangun membawa pinggan yang dah licin.
“Dah kenyang. Tak sembahyang Isya lagi ini,” aku memberitahu mak. Kejadian di sekolah masih lagi berlegar-legar di dalam kepala aku. Haruskah aku menceritakan kepada mak dan ayah?Entah-entah mereka tak akan percaya. Kalau percaya pun, mesti mereka akan risau, lebih-lebih lagi mak. Sudah la dia memang dah risau dengan rutin harian aku yang berulang-alik ke sekolah, ditambah pula dengan cerita yang macam ni, aku tak dapat bayangkan reaksinya macam mana!
            Selesai mengambil wudhu, aku berlalu ke bilik, meninggalkan mak, ayah dan 2 orang adik aku yang masih lagi menghabiskan makanan masing-masing.
Di sejadah, aku cuba sebaik mungkin untuk mengosongkan kepalaku dari terus memikirkan apa-apa terutamanya perkara yang berlaku di sekolah tapi tetap tak berjaya.
            Sebaik memberikan salam, aku menoleh melihat Al-Quran yang ada di atas katil. Bukan aku yang meletakkan ia di situ. Memang menjadi kebiasaan aku untuk membacanya tapi aku tak akan meletakkan Al-Quran di atas katil kerana aku letakkan di atas meja belajarku.
Mungkinkah adik aku yang meletakkan di situ?Aku memejamkan mata, cuba melegakan fikiranku yang semakin berserabut.
            Agaknya betul macam yang Aisyah katakan, sejak kebelakangan ni aku banyak sangat belajar dan membuat ulangkaji untuk peperikasaan pertengahan tahun nanti. Jadi kadang-kadang di luar sedar, sebagai manusia takkan boleh lari dari sifat pelupa, cuai dan sebagainya.
            “Ya, memang betul apa yang Syah cakap,” aku menghela nafas. Sekali lagi aku memejamkan mata, berzikir memuji kebesaran Allah yang tiada tandingan. Hanya Dia yang
Maha Sempurna dan Maha Mengetahui. Betapa aku menginsafi akan kekurangan aku sebagai hamba-Nya yang sentiasa melakukan kesalahan.
            Badan yang letih membuatkan aku merasa malas untuk mengaji. Aku rasakan Al-Quran yang berada di katil di sisi kiriku, jauh sangat pada malam ni.
“Tak apalah. Cukuplah kalau dapat baca sikit pun,” aku bingkas bangun. Sifat malas ni jangan diikutkan sangat sebab datangnya ia daripada bisikan-bisikan halus syaitan yang takkan pernah berhenti menggoda manusia. Pesanan ustaz di sekolah bermain di hujung telinga.
            Mataku melilau mencari kitab suci itu di atas katilku. Bukan tadi memang ada di sini ke?Ke aku yang berangan-angan?Agaknya memang betul ada di atas meja belajarku, tak bersentuh.
            Itulah. Banyak sangat benda yang aku fikirkan sampaikan tersilap pandang. Masakan Al-Quran tu betul-betul berada di atas katilku. Kalau ada mestilah takkan ke mana. Bukannya ia ada kaki yang boleh lari ke sana sini.
            Aku kembali menunduk untuk mencapai sejadah untuk dikemaskan. Jantungku berdetak kencang apabila melihat Al-Quran yang berwarna merah itu berada di atas sejadahku. Pasti, kali ini aku tak bermimpi!Bukan juga berangan-angan!
            Mataku masih lagi tak dapat menemui lena setelah apa yang berlaku, baik di sekolah mahupun di rumah. Benda apa yang mengganggu aku ni?Kalau difikirkan balik, tak la mengganggu urusan kerja aku baik di rumah mahupun di sekolah, tapi mungkin menyenangkan?
Entahlah...
            Sebagai manusia, aku yakin kalau siapa-siapa pun mesti tak akan menyenangi situasi macam ni. Aku akui yang aku dah mula rasa pelik, hairan dan juga seram!Di rumah mungkin tidak, tapi di sekolah ya. Bagaimana kalau sekarang ni hanya ini yang berlaku tapi nanti dia menampakkan dirinya kat dalam kelas aku tu?Ei!Tak sanggup aku nak berhadapan dengan benda-benda ni walaupun aku ni jenis yang berani seperti yang dikatakan oleh Aisyah.
            Hari ni dah hari Jumaat. 2 hari je cuti. Kan bagus kalau cuti lama sikit. Tak perlu la aku nak ke sekolah buat masa sekarang ni, tapi mana tahu hanya hari ni sahaja aku terpaksa melalui semua ni?Mungkin aku terlalu penat setelah seharian di sekolah.
            Aku memusing ke kanan. Cuba memejamkan mata dan berehat. Kenapa la mata ni pun susah nak lelap malam ni?Aku mengerling jam loceng yang dah menunjukkan hampir ke pukul 1 pagi. Bilik aku terang diterangi sinar bulan.
“Mesti bulan penuh malam ni,” aku bingkas bangun dari katil dan berjalan menuju ke tingkap. Perlahan-lahan aku singkap kain langsir untuk membuka tingkap yang tertutup kemas.
“Betul la, bulan penuh,” aku tersenyum menyaksikan keindahan cipataan Tuhan. Bilik tidur aku yang mengadap keluar membolehkan melihat pandangan ke luar rumah perumahan ni.
            Kebanyakan rumah sudah pun bergelap. Mesti dah ramai yang tidur pada waktu-waktu macam ni. Hanya rumah Makcik Zabedah yang masih lagi diterangi lampu. Kain langsirnya yang masih disingkap kemas membolehkan aku nampak bahagian ruang tamunya masih lagi terang benderang. Agaknya dia masih lagi menguruskan kelengkapannya membuat kuih-muih yang nak diletakkan di kedai-kedai berhampiran kawasan perumahan ni.
            Aku kasihankan dia, seorang ibu tunggal yang begitu gigih membesarkan anak-anaknya yang 4 orang tu. Mujurlah anaknya yang sulung tu dah hampir habis belajar di universiti. Bolehlah dia membantu emaknya nanti membesarkan adik-adiknya yang masih lagi bersekolah.
            Aku terus memerharikan bulan yang terang bersinar. Angin yang lembut menerjah masuk ke dalam bilik.

“Nyamannya!,” aku menyedut udara segar tu. Seakan-akan udara yang sama yang aku rasai setiap kali menuju ke sekolah. Cuma bezanya udara sekarang tidak sesejuk selepasa Subuh nanti yang kadang-kadang membuatkan aku malas nak bangun, terutamanya pada waktu cuti.
            “Memang segar pada waktu-waktu macam ni.”
Aku tersentak. Suara siapa tu?Pandangan yang tertumpu ke bulan, aku arahkan ke sekeliling. Mana ada siapa-siapa. Mustahil!Tadi suara tu jelas kedengaran di telinga aku. Bukannya aku mengantuk lagi.
Lagipun kalau la ada orang sekalipun, mustahil dia boleh mendengar suara aku. Bukannya aku bercakap kuat, hanya seakan-akan berbisik kepada diri sendiri.
            Lain la kalau dia ada betul-betul dekat dengan diri aku, seperti dalam bilik ni. Barulah dia akan dengar apa yang aku cakapkan. Dalam bilik?!
Ya Allah, janganlah ada apa-apa dalam bilik aku ni, biar apa pun benda tu, yang pasti dia bukan manusia!
            Pantas aku menutup tingkap dan meluru ke katil. Satu bantal aku capai untuk menutup muka!
 ###########################
            “Ala..takkan mak nak kena pergi juga rumah Mak Ngah tu?,” aku memandang mak sewaktu mengadap pinggan yang berisi nasi goreng pada pagi Sabtu tu.
“Ya la. Kalau tak pergi kesian juga kat Mak Ngah kamu tu terkontang-kanting sorang-sorang nak uruskan kenduri tu nanti. Tak menang tangan dibuatnya nanti,” mak masih lagi setia mencuci pinggan-pinggan di sinki.
            Aku meneruskan suapan yang terhenti. Kenduri kesyukuran yang dibuat sempena sepupu aku, Kak Ina yang selamat bersalin memerlukan mak dan ayah meninggalkan aku semalam di rumah. Pilihan yang ada untuk aku, sama ada aku ikut serta bermalam di sana atau tinggal seorang diri di sini.
            Bukannya aku tak pernah tinggal seorang diri kerana adik-adik aku juga akan ikut serta mak dan ayah, tapi selepas apa yang berlaku semalam buat aku menjadi takut!
“Akak ikut la mak dengan ayah. Senang, kita tidur kat sana bukan lama pun. Semalam je,” mak datang menghampiri aku yang masih lagi cuba menghabiskan nasi goreng di dalam pinggan.
            Aku mendiamkan diri. Kalau aku ikut, mesti la kena tolong apa yang patut. Belajar ringan-ringankan tulang, macam yang mak selalu cakap sebabnya aku ni anak dara bukannya seperti anak lelaki yang tak banyak sangat pantang larangnya macam anak perempuan ni!
Masalahnya, hujung minggu macam ni saja yang aku boleh gunakan untuk berehat betul-betul setelah 5 hari berulang-alik ke sekolah. Mana dengan kerja rumah lagi yang aku nak kena habiskan, nak kena buat ulang kaji lagi untuk peperiksaan. Pening kepala aku!
            “Mak tanya ni. Macam mana?Nak ikut tak?,” mak mencuit tangan aku yang masih bermain-main dengan nasi goreng di dalam pinggan.
Aku yang terkejut terus menggelengkan kepala.
            “Itulah. Nanti adik-beradik sendiri pun tak kenal. Asyik terperap kat rumah..,” mak memulakan bebelannya. Aku yang dah biasa hanya menadah telinga.
Nak ikut ke tak?Aku masih berkira-kira di dalam hati. Tawakkal je la. Insya-Allah takkan ada apa-apa kut kalau aku duduk kat rumah sorang-sorang. Lagipun bukannya lama, semalam je.
            “Bila mak dengan ayah nak bertolak?,” aku bertanya setelah habis juga nasi di dalam pinggan. Badan yang aku rasa kurang enak, tak dimaklumkan kepada mak. Kenapa pula tiba-tiba macam nak demam ni?Agaknya sebab kena angin malam tadi tak?
“Lepas Zuhur nanti. Betul ke akak tak mau ikut ni?,” mak bertanya lagi.
            “Tak apa. Akak tinggal kat rumah je la,” aku membasuh pinggan. Kalau aku takut, aku akan telefon Aisyah, minta dia datang temankan aku. Aku tersenyum sendirian apabila siap membuat rancangan di dalam kepala. Bukannya dia tak pernah temankan aku bila mak dengan ayah meninggalkan aku sorang-sorang macam hari ni.
            “Lagipun apa gunanya kawan,” kata-katanya yang pernah diucapkan sewaktu pertama kali aku meminta dia menemankan aku di rumah dulu, ketika mak dengan ayah terpaksa balik ke kampung kerana arwah nenek yang kurang sihat pada waktu itu.
Waktu tu aku terpaksa ditinggalkan kerana hendak mengambil peperiksaan dan yang menjadi mangsanya adalah Aisyah, terpaksa datang menemankan aku. Mujurlah mak dan ayahnya yang memahami memberikan keizinan.
            Itu cerita sewaktu kali pertama aku ditinggalkan tapi lama-kelamaan aku dah biasa tinggal seorang diri. Lagipun kawasan perumahan ini tak pernah pula dilaporkan kes-kes jenayah dan sebagainya. Jiran-jiran di kiri kanan juga saling mengambil berat di antara satu sama lain, jadi kalau ada orang luar yang masuk ke kawasan ni memang mudah dikenal pasti.
            “Ingat, kunci rumah elok-elok. Jangan keluar kalau tak ada hal,” ayah memesan sekali lagi benda yang sama, yang sudah dipesannya sewaktu habis dia menunaikan solat Zuhur tadi.
Aku melihat ayah yang keluar untuk menghidupkan enjin kereta. Mak masih lagi sibuk membetulkan tudung yang dipakainya.
            “Dah ok la mak. Dah cantik pun,” aku mengusik.
“Pandai la kamu,” mak tersenyum malu. Aku tatap wajah mak. Memang betul la mak dengan aku tak seiras, agaknya aku mewarisi wajah ayah. Datuk aku sebelah mak, seorang mualaf, Cina yang memeluk Islam sebelum berkahwin dengan arwah nenek. Agaknya sebab tu la mata mak pun sepet. Aku tersenyum melihat mata mak yang masih lagi menatap cermin.
            Aku bersyukur masih lagi ada benda yang aku warisi daripada mak, warna kulit putih kuningnya. Adik perempuan aku, Liza mewarisi warna kulit ayah tapi matanya seperti mata mak. Adik bongsu aku pula, Hafiz mewarisi baik muka mahupun warna kulit, semuanya macam mak.
            Sebaik kereta ayah meninggalkan perkarangan rumah, aku menutup dan mengunci pintu. Aku menuju ke bilik untuk merebahkan badan. Aku meletakkan tapak tangan ke dahi untuk merasa sendiri suhu badan. Memang agak panas!Malam nanti la makan panadol tu. Aku yakin ubat-ubat tersebut masih lagi ada di kabinet dapur ataupun di dalam peti sejuk.
            Aku capai buku teks Sejarah sebelum merebahkan badan di katil. Walaupun ada meja belajar tapi aku lebih selesa belajar di atas katil. Cukup-cukup la duduk di kerusi dan mengadap meja di sekolah!
Mata yang sememangnya kurang mendapat tidur sejak dari malam tadi, ditambahkan dengan badan yang aku rasakan sekejap sejuk dan panas, aku pejamkan. Tenang dan sunyi. Hanya sesekali kedengaran bunyi motorsikal yang lalu di depan rumahku.
            “Lelap la sekejap,” aku bercakap setelah melihat jam yang hampir ke pukul 2.15 petang.
Sebelum Asar nanti aku bangun, aku merancang di dalam kepala.
            Satu bantal aku capai untuk dibuat alas kepala. Kipas angin yang berpusing membuatkan aku berasa selesa. Perlahan mata aku pejamkan, cuba mencari lena.
“Berehat la,” perlahan suara yang berbisik di hujung telingaku. Mata yang sedari tadi aku pejamkan, terus aku tutup.
            Ya Allah, takkan la waktu-waktu macam ni pun dia dah ada?Aku terus menutup mata, tak berani nak membukanya. Kalau la dia dah memang menjelmakan dirinya di dalam bilik ni, tak ke naya aku?!
            Perasaan mula bercampur baur. Kalau la aku ikut mak dengan ayah tadi!Aku terus berdoa di dalam hati, minta dijauhkan dari segala musibah.
Badanku yang sememangnya memerlukan rehat, mungkin seperti mindaku juga berjaya membuatkan aku terus menutup mata, berasa mengantuk. Apapun yang terjadi sebelum ni tak berjaya membuatkan mindaku terus berfikir.
            Apa yang penting sekarang ni ialah tidur...
 #######################################
            Perlahan-lahan aku membuka mata. Kepala aku terasa berat sekali dan rasa malas nak bangun kalau tak mengenangkan tanggungjawab aku yang belum lagi aku tunaikan.
Aku mengerling jam loceng di atas meja.
            “Masya-Allah!Dah pukul 5.30,” aku memaksa diri untuk bangun. Tak boleh diikutkan sangat rasa malas ni, itu yang selalu aku ingatkan diri aku sendiri.
Aku memicit-micit kepala yang membuatkan pandanganku sedikit berpusing. Memang panas badanku. Rasanya bertambah panas!
            Aku bangun dari katil untuk ke bilik air. Takkan la sebab kena angin malam tadi terus demam macam ni?Sedangkan bukannya aku tak pernah biarkan tingkap di bilik tidur aku tak bertutup. Kadang-kadang bila keadaan bilik yang terasa panas, aku akan biarkan salah satu daripada 3 tingkap di bilik tidur aku tu terbuka, agar angin malam yang sejuk tu dapat bertiup masuk ke dalam bilik.
            Maklum la, keadaan bilik aku tak dilengkapi penghawa dingin. Hanya kipas angin satu saja yang membantu untuk menyejukkan keadaan bilik aku.
Aku rasakan air yang mengenai tangan cukup sejuk pada petang ni. Mungkin disebabkan suhu badan aku yang agak panas.
            Selesai berwudhu, aku melangkah menuju ke bilik untuk menunaikan sembahyang Asar. Kalau perlu, selesai sembahyang aku akan menghubungi Aisyah untuk meminta dia datang menemankan aku malam ni.
            Aku menuju ke tempat biasa tempat biasa aku menyidaikan telekung dan sejadah yang aku gunakan.       
            “Kat mana pulak ni?,” aku memerhatikan tempat sidai yang hanya terdapat baju-baju T-shirt aku yang belum aku kemaskan untuk disimpan ke dalam almari.
Aku duduk bersandar di dinding. Tak habis-habis lagi ke benda ni nak mengusik aku?
            Aku menghela nafas. Kepala yang terasa berat seakan-akan minta direbahkan kembali.
Aku memejamkan mata. Cuba menguatkan diri sendiri. Selagi aku mampu, aku akan tunaikan kewajiban diri.
            Aku bangun untuk mencari telekung dan sejadah yang entah di mana berada. Sebaik aku membuka mata, aku dapat melihat dengan jelas telekung dan sejadah yang berada di atas katil. Elok terlipat di situ.
            Aku memerhatikan keadaan bilik. Angin petang lembut bertiup masuk ke dalam bilik. Perasaan nyaman sedikit sebanyak membuatkan kurang pening kepala aku sekarang ni.
            “Mustahil,” aku mencapai telekung dan sejadah setelah membaca bismillah. Biarlah aku mulakan menyentuh telekung dan sejadah yang sudah beralih tempat itu dengan nama Allah.
Aku terus membentangkan sejadah mengadap kiblat. Terlalu berserabut kepala aku nak memikirkan apa yang sedang berlaku sekarang ni.
            Selesai bersolat, aku berteleku di sejadah. Tak terdaya rasanya nak melangkah keluar menuju ke ruang tamu untuk mencapai telefon menghubungi Aisyah.
“Ubat pun tak makan lagi,” aku menyedari kealpaan aku untuk memakan ubat sebelum mengambil air sembahyang tadi. Aku gagahkan juga untuk bangun dari sejadah. Mujur juga aku tak ikut mak dan ayah, kalau tak pasti akan hanya menyusahkan mereka.
Entah kenapa kepala aku terasa berat kembali. Pandangan yang semakin malap membuatkan aku hilang imbangan. Sebelum mataku betul-betul tertutup, aku sempat melihat susuk seseorang di hadapanku.

            Aku membuka mata perlahan-lahan. Lampu yang terang menerangi di siling membuatkan aku kembali menutup mata. Silauan cahaya yang menerjah membuatkan kepalaku kembali berdenyut sedikit demi sedikit.
            Dah malam ke?Aku cuba membuka kembali mata. Aku melihat jam di meja. Hampir ke pukul 7.30 malam. Ya Allah, dah masuk Maghrib!Apa yang berlaku?
Aku cuba mengingati.
            Aku bangun dari terus berbaring. Perlahan-lahan aku memicit dahi. Ya, aku dah ingat kembali. Selepas Asar, aku pitam. Patut la aku terbaring di atas lantai di bilik aku. Aku usap permaidani yang berwarna merah yang terhampar di ruang bilik aku itu.
“Mujur la ada karpet ni,” aku tersenyum mengenangkan karpet yang menjadi alas tidurku tadi.
            Aku melihat bantalku yang berwarna merah jambu yang menjadi alas kepalaku.
Lama aku tenung bantal tu. Perasaan tenang kembali berkocak selepas jantung berdegup kencang.
            Aku menggeleng kepala beberapa kali. Mustahil!Memang mustahil. Aku terjatuh sewaktu nak bangun selepas Asar tadi untuk menghubungi Aisyah, mustahil aku sempat mencapai bantal yang berada di atas katil.
             Aisyah!Dah lewat sekarang ni kalau aku nak minta dia datang pada waktu-waktu macam ni. Lagipun belum tentu dia akan dapat bas sekarang. Paling lewat pukul 8 atau 9 nanti bas dari Pekan Tanjung tu. Biarlah aku bermalam seorang diri.
Aku menarik nafas beberapa kali. Cuba menenangkan diri sendiri. Jantungku terus bedetak kencang.
            Aku memerhatikan sekeliling. Lampu...Siapa yang nyalakan?Aku baru perasan lampu yang terang menerangi. Bukan aku yang buat.
Aku melihat selimut yang masih berada di atas pehaku. Patutlah badanku dibasahi peluh. Ayah pernah berpesan, bila demam elok berselimut. Biar keluar peluh dan dapat meyejukkan badan.
            Deru angin kipas yang menampar mukaku juga menghairankan aku. Siapa yang menghidupkan suis kipas tu?Tiada apa-apa aneh di dalam bilik aku ni. Hantu ke?Kalau setakat mengusik, memang la aku boleh terima sebab itu memang kerjanya, tapi ini seakan-akan menolong aku.
            “Dalam dunia ini, bukan kita manusia saja yang ada. Macam-macam makhluk Allah yang lain pun ada. Cuma kita yang tak dapat lihat mereka saja tapi mereka dapat lihat kita. Contohnya macam syaitan, yang kerjanya asyik menggoda manusia. Dijadikan daripada api dan bertubuh halus. Mana boleh kita nak pandang mereka macam mereka yang dapat melihat kita bertubuh kasar macam ni,” kata-kata ustaz bermain di ingatanku.
Syaitan?Buat apa dia menolong aku. Bukannya aku bersahabat dengan dia!Ei!Minta dijauhkan oleh Allah.
            Aku bingkas bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu. Waktu Maghrib hampir berlalu. Biar apa pun yang sudah menolong aku, aku mengharapkan biarlah suatu hari nanti aku mempunyai peluang untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.
            Asalkan dia bukanlah makhluk yang dikutuk oleh Allah itu!





3 comments:

  1. wah...misterinya...agak menyeramkan tapi dalam masa yg sama buat amy teruja...sambung please...

    ReplyDelete
  2. tq salmi..tak sangka ada juga yang minat cite ni..insya Allah, akan update dalam masa terdekat ni juga;-)

    ReplyDelete
  3. kenapa makhluk tu cam... suka je kat dia he he he,,

    ReplyDelete

EH, EH..ADA ORANG NAK BAGI KITA KOMEN?YEAYYY!!!